Temubual antara Tan Sri Dr Lim Kok Wing dan Mingguan Malaysia.
TIDAK pernah terlintas di fikiran pengasas
Limkokwing University of Creative Technology (LUCT), PROFESOR EMERITUS TAN SRI
DR. LIM KOK WING bahawa beliau akan menjadi individu bertuah yang dapat bekerja
bersama-sama ikon antiaparteid, Nelson Mandela.

Semuanya bermula apabila beliau diarahkan oleh
bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membantu Mandela dan
partinya, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berkempen pada pilihan raya
demokratik negara itu yang pertama dari penghujung 1993 sehingga awal 1994.
Dalam satu wawancara dengan wartawan Mingguan
Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD dan NIZAM YATIM serta jurugambar HANAFI KHAMIS,
Kok Wing, 67, menceritakan pengalaman pasukan Malaysia yang diketuainya
berkempen di segenap ceruk negara itu selama enam bulan sehingga ANC menang
dengan majoriti 62 peratus undi.
Mereka terpaksa mengambil risiko kerana pada
masa itu kejadian letupan bom masih lagi berlaku.
Akhirnya, hasil kerja keras pasukan kempen dan
sumbangan dana dari Malaysia membolehkan Mandela dipilih sebagai Presiden kulit
hitam pertama di Afrika Selatan.
“Sudah tiba masanya rakyat mengetahui perkara
sebenar mengenai apa yang berlaku 20 tahun lalu apabila Malaysia khususnya Dr.
Mahathir bersungguh-sungguh membantu Mandela atas semangat setiakawan dan
antiaparteid yang cukup hebat," kata Kok Wing.

MINGGUAN: Secara ringkas, bagaimana hubungan antara
Malaysia dan Afrika Selatan?
LIM KOK WING: Hubungan ini telah terjalin
sekian lama malah sejak zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra
Al-Haj. Namun hubungannya tidak baik kerana wujud dasar aparteid di Afrika
Selatan. Malaysia antara negara yang menentang kuat dasar aparteid. Tunku Abdul
Rahman ialah pemimpin pertama yang mencadangkan supaya Afrika Selatan
disingkirkan daripada pertubuhan negara-negara Komanwel kerana negara itu
mengamalkan dasar aparteid iaitu ketika berlangsungnya persidangan Perdana
Menteri negara-negara Komanwel pada 1960.
Akhirnya pada 1961, Afrika Selatan tidak lagi
menjadi anggota Komanwel dan sejak itu Malaysia telah memainkan peranan sebagai
antara negara pendesak. Malaysia mahu pihak antarabangsa memberikan tekanan
kepada Afrika Selatan bagi menamatkan segera dasar aparteid. Malaysia menggesa
demokrasi ditegakkan di negara berkenaan. Bagaimanapun, segala-galanya berubah
apabila Mandela dibebaskan dan ia berlaku ketika zaman pemerintahan Dr.
Mahathir. Mandela kemudiannya datang ke negara ini untuk bertemu dengan Dr. Mahathir.
Ketika berkunjung ke Malaysia, saya telah diperkenalkan oleh Dr. Mahathir
kepada Mandela. Saya telah diminta menggalas satu tugas besar iaitu membantu
beliau dan partinya ANC berkempen pada pilihan raya demokratik pertama negara
berkenaan. Untuk makluman semua, Mandela ialah rakan karib kepada Dr. Mahathir.
Selama ini saya bekerja rapat dengan Dr. Mahathir dan apabila beliau meminta
saya membantu Mandela dan ANC, saya terus setuju. Saya berpendapat pada masa
itu kita perlu membantu Afrika Selatan bagi membolehkan mereka mengecapi
kebebasan selain membuktikan dasar aparteid itu adalah salah. Sebenarnya,
Mandela amat mengharapkan bantuan daripada Malaysia. Beliau lebih percayakan
negara ini dan tahu kita akan memberi sokongan sepenuhnya.
Selepas diberi tanggungjawab itu, apa langkah Tan
Sri seterusnya?
LIM KOK WING: Saya berada di Afrika Selatan
selama enam bulan dan dalam tempoh itu pelbagai cadangan telah diberikan untuk
tujuan kempen. Oleh kerana ANC dipimpin bekas pejuang pembebasan yang tidak
berpengalaman langsung berkempen ketika pilihan raya, mereka bergantung
sepenuhnya kepada pasukan dari Malaysia untuk mengurus dan menjalankan kempen.
Kita telah mencipta satu slogan khas untuk ANC bagi menarik sokongan rakyat
kepada mereka. Sebagai seorang yang telah lama terlibat dengan bidang
pengiklanan, saya tahu bukan mudah untuk kita memperkenalkan satu slogan yang
mampu menarik minat orang ramai. Pada awalnya saya cadangkan slogan A better
future for all tetapi pihak ANC mahu ia diubah kepada A better life for all.
Saya mencadangkan perkataan future (masa depan) kerana ia merujuk kepada satu
tempoh yang panjang, manakala life merujuk pada kehidupan baik pada waktu
sekarang sahaja.
Namun, akhirnya kami akur untuk menggunakan
slogan A better life for all dengan merujuk kehidupan yang baik untuk semua
orang secara bersama-sama. Slogan ini masih digunakan sehingga sekarang
meskipun selepas 20 tahun dicipta. Untuk menjadikan slogan ini signifikan, kita
telah memasukkan kanak-kanak pelbagai warna kulit dan keturunan bersama-sama
dengan Mandela dan kemudian telah membentuk satu poster kempen yang amat
menarik. Mesejnya cukup jelas iaitu untuk perdamaian, kesatuan dan perpaduan.

Difahamkan ANC enggan menerima poster yang
memaparkan kanak-kanak berkulit putih?
LIM KOK WING: Poster kempen ini memaparkan
Mandela bersama-sama kanak-kanak Afrika Selatan berusia 5 hingga 8 tahun yang
mewakili kulit putih, hitam, India, Melayu Cape Town dan lain-lain etnik.
Gambar ini telah dirakam oleh jurugambar dari Malaysia dan membawa maksud
reconciliation (perdamaian). Kalau dilihat pada poster yang dibuat, terdapat
dua kanak-kanak kulit putih bersama-sama Mandela. Saya ingin meletakkan tiga
orang, tetapi ANC hanya mahu seorang sahaja kanak-kanak kulit putih. Akhirnya
saya meletakkan dua orang. Pemimpin-pemimpin ANC tidak bersetuju dan
menyifatkan poster kempen yang saya buat itu seperti bijirin sarapan pagi,
Kellogs dan terlalu banyak bertolak ansur dengan pihak yang telah lama menindas
orang kulit hitam. Ia juga 100 peratus berbeza dengan apa yang dikehendaki oleh
ANC yang mahukan poster gambar genggaman tangan sebagai tanda melawan. Saya
nyatakan kepada mereka yang ANC sudah pasti mendapat undi orang kulit hitam,
oleh itu tumpuan perlu dibuat bagi menarik sokongan orang kulit putih. Saya
mengambil masa selama tiga minggu untuk meyakinkan pihak ANC supaya menggunakan
gambar dan slogan ini. Saya bercakap dengan Mandela sendiri bagi menjelaskan
idea berkenaan dan beliau faham dan bersetuju dengan saya. Beliau bersama-sama
dengan saya kemudiannya memberi penjelasan kepada pemimpin-pemimpin ANC supaya
menerima idea berkenaan.
Saya masih ingat kata-kata Mandela ketika itu
iaitu lelaki ini (Kok Wing) datang dari negara yang mempunyai penduduk
berbilang kaum, jadi dia tahu bagaimana untuk membawa rakyat hidup
bersama-sama. Kita mesti membawa semua rakyat kita hidup bersama-sama. Saya
mengemukakan idea ini kerana merasakan salah satu tugas penting yang perlu saya
laksanakan adalah memastikan semua rakyat Afrika Selatan dapat hidup bersama-sama.
Orang berkulit putih menguasai 80 peratus kekayaan negara berkenaan, sekiranya
kita tidak membawa semua supaya bersatu, apa akan terjadi jika orang kulit
putih berhijrah ke negara lain. Akhirnya poster ini menjadi kesukaan ramai.
Penduduk mengambil dan menampalkan dalam rumah mereka, sehingga kita kehabisan
poster.
Nampaknya, kumpulan Tan Sri turut berperanan
mencetuskan kesedaran rakyat Afrika Selatan mengenai hak mereka sebagai
pengundi?
LIM KOK WING: Kita mahu memberikan kesedaran
kepada mereka betapa pentingnya sesebuah pilihan raya serta tanggungjawab
mereka sebagai pengundi. Cuba lihat poster ini dan cuba lihat surat yang
diberikan kepada saya oleh Mandela. Di dalam surat bertarikh 12 April 1994 ini,
Mandela mengucapkan penghargaan kepada saya serta kumpulan saya atas sumbangan
besar kami sepanjang kempen diadakan. Sumbangan ini termasuk mendidik
masyarakat mengenai pilihan raya. Untuk itu kita telah mencetak begitu banyak
risalah yang tujuannya menunjukkan cara yang betul untuk mengundi. Kita mahu
mereka supaya pangkah parti ANC pada hari pengundian. Kita mahu ANC menang pada
pilihan raya tersebut.
Untuk pengetahuan semua, bahan-bahan kempen
seperti poster, risalah, papan iklan dan sepanduk kesemuanya dicetak di
Malaysia dan kemudian dihantar ke Afrika Selatan menggunakan kapal. Kita mahu
memastikan bahan-bahan kempen ini dapat disiapkan sepenuhnya, seterusnya
diagih-agihkan ke seluruh Afrika Selatan. Sekiranya semua bahan-bahan kempen
ini dicetak di Afrika Selatan, kita tidak boleh pastikan sama ada ia boleh siap
atau tidak.
Dengan siapa Tan Sri bertugas sepanjang enam bulan
di Afrika Selatan?
LIM KOK WING: Saya mempunyai 10 orang pembantu
dari Malaysia. Saya juga mempunyai beberapa petugas tempatan berjumlah antara
20 hingga 30 orang bergantung kepada keadaan. Dalam tempoh enam bulan di Afrika
Selatan saya juga bekerja dengan beberapa pemimpin kanan ANC antaranya, Thabo
Mbeki (bekas Presiden Afrika Selatan); Jacob Zuma (Presiden Afrika Selatan
sekarang); Cyril Ramaposa dan Dr. Popo Molefe. Kebanyakan mereka menjadi
menteri selepas kemenangan besar ANC pada pilihan raya umum pertama negara itu.
Tan Sri sebenarnya sedang membawa nama Malaysia,
boleh komen?
LIM KOK WING: Ya, selama di sana saya membawa
nama Malaysia. Namun apa pun, yang pasti misi saya di Afrika Selatan sentiasa
berhadapan dengan situasi bahaya. Ketika itu kejadian letupan bom di hotel dan
lapangan terbang masih berlaku. Saya juga bekerja rapat dengan bekas Ketua
Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul Halim Ali yang ketika itu bertugas di
Kementerian Luar. Sekiranya saya lihat semula keadaan pada masa itu tidak
dinafikan kerja saya amat berbahaya. Walaupun saya sentiasa diiringi oleh
pasukan keselamatan tetapi saya sukar untuk mengenali mereka kerana setiap hari
bertukar orang. Saya sedar bahaya sentiasa menanti. Namun saya tiada pilihan
kerana pilihan raya semakin dekat. Saya terpaksa mengambil risiko untuk
memastikan kemenangan ANC dan Mandela. Isteri saya juga begitu marah kerana
kejadian letupan bom masih lagi berlaku dan dia mendesak saya pulang ke tanah
air.
Halim juga minta saya pulang tetapi saya kata
saya perlu selesaikan tugas ini dengan sempurna. Saya perlu menyiapkan setiap
tugas yang telah diamanahkan walaupun keadaan amat berbahaya ketika itu. Apa
yang kita lakukan ini atas arahan Dr. Mahathir dan ia sebenarnya memberi kredit
kepada Malaysia. Sekiranya tiada pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepada
ANC, siapa lagi?. Pengalaman lain yang saya tidak dapat saya lupakan apabila
kami menjelajah semua negeri di negara itu dengan menaiki helikopter yang
usang. Kami juga menaiki kenderaan yang dipandu sangat laju kerana mahu mengejar
masa dan dalam masa sama atas faktor keselamatan bagi mengelak dikejar dan
diserang. Sememangnya misi kita untuk membantu ANC ini merupakan satu misi
besar dan ‘senyap’ (tanpa diheboh-hebohkan). Sebelum saya terlupa Molefe yang
ketika itu memegang jawatan sebagai Pengerusi Kempen Pilihan Raya ANC turut
mengutuskan surat bertarikh 25 April 1994 kepada saya untuk mengucapkan
penghargaan kerana bekerja keras membantu mereka untuk memenangi pilihan raya
pertama Afrika Selatan.
Selama 20 tahun ini rakyat Malaysia langsung tidak
tahu pembabitan Malaysia dalam membantu ANC?
LIM KOK WING: Memang rakyat tidak tahu
sumbangan Malaysia terhadap usaha menghidupkan proses demokrasi di Afrika
Selatan. Saya juga akui terdapat beberapa syarikat televisyen luar negara telah
menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat mengenai perkara ini. Inilah
sumbangan Malaysia kepada Afrika Selatan. Inilah sumbangan yang Malaysia
berikan kepada Mandela sekalipun Dr. Mahathir tidak pernah menceritakannya,
begitu juga dengan Daim. Sebab itu saya pun mendiamkan sahaja perkara ini.
Cuma, pada Ogos lalu kita ada menganjurkan majlis penyampaian anugerah khas
untuk Mandela atas sumbangannya tidak terhingga kepada keamanan dunia sejagat.
Anugerah ini kita namakan sebagai Mahathir Award for Global Peace. Dr. Mahathir
telah menyerahkannya kepada Zuma sebagai wakil kepada Mandela. Penyampaian
anugerah tersebut turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak. Bagi saya Mandela dan Afrika Selatan terlalu dekat di hati saya. Mungkin
disebabkan pembabitan saya dalam kempen ANC selama enam bulan di sana, 20 tahun
lalu.
Selepas kemenangan ANC, apa yang berlaku?
LIM KOK WING: Semua orang tahu siapakah
Mandela. Apabila beliau menjadi Presiden semua orang menari dengan gembira.
Tetapi satu perkara penting yang seharusnya diketahui terutama rakyat Malaysia
adalah peranan Dr. Mahathir dan pasukan dari Malaysia yang menyokong tokoh ini
di sebalik tabir sehinggalah beliau dan ANC menang. Kita dari Malaysia berada
di sana untuk menghulurkan bantuan selepas Mandela yang baru beberapa tahun
dibebaskan daripada penjara telah meminta bantuan daripada Dr. Mahathir kerana
kagum dengan keharmonian penduduk berbilang kaum di negara ini. Tugas kempen
ini memang cukup berat kerana ANC bukan sahaja berhadapan parti kulit putih,
malah perlu melawan sebuah parti kulit hitam lain yang mewakili kaum Zulu.
Apa perasaan Tan Sri apabila dimaklumkan Mandela
meninggal dunia?
LIM KOK WING: Apabila mendengar berita ini,
perkara pertama yang terfikir dalam fikiran saya ialah Dr. Mahathir kerana
beliau yang memberi panduan kepada saya mengenai apa yang perlu saya lakukan
bagi membantu Mandela. Beliau selalu mengingatkan saya supaya menyelesaikan
tugas berkenaan dengan sebaik mungkin. Kerana kami adalah satu-satunya pasukan
yang menjalankan kempen untuk ANC. Pemergian Mandela sudah dijangkakan kerana
beliau sudah tua dan sakit dalam tempoh yang cukup lama. Kita telah kehilangan
seorang sahabat baik kerana dalam banyak perkara, Afrika Selatan dan Malaysia
mempunyai hubungan akrab.
Saya merasa sedih kerana sangat sukar untuk
mencari tokoh lain seperti Mandela yang dapat menyatukan ramai orang. Meskipun
berada selama 27 tahun dalam penjara, beliau tidak berasa marah dengan orang
kulit putih. Beliau juga boleh bekerja dengan sesiapa sahaja.
Apakah iktibar daripada pemergian Mandela?
LIM KOK WING: Kita mesti mengambil pengajaran
bahawa apabila seseorang tokoh yang sukar dicari ganti ini pergi, beliau akan
pergi selama-lamanya. Berbalik kepada Dr. Mahathir, bagi saya beliau ialah
tokoh hebat peringkat global dan setaraf dengan Mandela. Ketika beliau masih
lagi bersama kita, saya berharap semua orang mendengar nasihat dan menghargai
beliau. Kabinet mesti memberikan perhatian terhadap segala pandangan yang
beliau luahkan kerana beliau bercakap daripada lubuk hatinya.
Apa yang saya kesalkan, terdapat orang kita
sendiri yang mengkritik beliau secara terbuka. Kalau nak juga mengkritik
lakukanlah secara tertutup dan jangan melakukannya di hadapan khalayak ramai.
Sekiranya kita pergi ke Afrika, kita akan sedar bahawa Dr. Mahathir ialah
seorang hero di sana. Semua orang mengenali dan menyayangi beliau. Begitu juga
di negara Arab dan Asia Tengah, semua kenal beliau.
Kalau kita pergi ke negara orang Buddha
seperti Vietnam dan Myanmar, beliau juga dikenali sebagai seorang hero yang
hebat. Malangnya di negara sendiri, orang tidak menghargai nasihat beliau. MINGGUAN MALAYSIA
http://www.facebook.com/PapagegeGroup
http://papagege.blogspot.com
http://twitter.com/Papagege